comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM perlu lebih mantap, tinggalkan amalan lama – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika hadir Majlis Penerapan Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri MADANI Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.-Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memantapkan lagi setiap aspek dalam cara kerja mereka dan menghentikan amalan tidak wajar dalam pasukan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, pandangan tegas terhadap JIM hanya terarah kepada mereka yang culas dalam menjalankan tugas.

Majoriti daripada warga jabatan itu masih berdedikasi dan amanah.

“Saudara-saudara yang menjalankan tanggungjawab dengan baik tidak harus berasa terguris dengan teguran, malah perlu mendukung bersama membetulkan kesilapan kerana membabitkan golongan kecil yang menyebabkan tercalar imej yang sedang diusahakan Imigresen.”

“Saya ucap terima kasih kepada seluruh warga Imigresen kerana saya tahu, bukan saja Ketua Setiausaha teruji, tapi juga Datuk Ruslin terutamanya, yang memang sedang berusaha dengan keluarga Imigresen mengambil langkah yang perlu memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri MADANI JIM yang turut dihadiri Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, di sini hari ini.

Menurut Anwar, amalan rasuah membabitkan segelintir anggota dan pegawai JIM perlu dibendung bagi membolehkan pembaharuan jabatan itu dilakukan di bawah Kerajaan Madani.

“Kita berada dalam satu keluarga ke arah satu pembaharuan, marilah kita kerja secara bersama untuk menghentikan amalan yang tidak sesuai.”

“Saya tahu, kita memang sedang berusaha bersama dengan keluarga JIM dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki segera segala kelemahan yang ada.”

“Saya nak beritahu bahawa kita cuba bersihkan dan selamatkan negara kita dan harap sekelompok kecil itu jangan yang tersinggung nanti dengan pembaharuan Madani,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini