comscore
Tumpuan :
Nasional

JKM serbu pot gelandangan di HSA

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon mendapatkan maklumat daripada gelandangan yang ditemukan di HSA kelmarin. Gambar ihsan Ling Tian Soon.

JOHOR BAHRU: Seperti yang berlaku di kebanyakan hospital utama di setiap negeri, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini turut menjadi tempat gelandangan beristirehat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata pihaknya membuat pemeriksaan mengejut di bahagian kecemasan HSA dan mendapati beberapa gelandangan menjadikan ruangan menunggu sebagai tempat beristirehat serta meletakkan barangan.

“Oleh itu, saya dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi penguatkuasaan dan penyelamatan di hospital serta kawasan pusat bandar,” katanya.

Tian Soon yang mengetuai operasi sifar gelandangan di negeri ini kelmarin berkata setiap gelandangan mempunyai cerita tersendiri.

Anggota operasi hanya mampu mendengar serta menyelamat dan menempatkan mereka ke pusat penempatan sementara sehingga mereka mencari pekerjaan dan kediaman yang sesuai.

Tian Soon berkata operasi sifar gelandangan akan diteruskan bagi meningkatkan imej bandar Johor Bahru serta memperbaiki dan meningkatkan keselamatan di bandar.

“Kami komited untuk mencapai matlamat sifar gelandangan di jalanan namun matlamat ini tidak mudah untuk dicapai.”

“Selain daripada penguatkuasaan yang berterusan oleh pihak berkuasa, ia juga memerlukan sokongan masyarakat untuk membentuk rangkaian dalam usaha untuk mencapai sifar gelandangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, golongan gelandangan ini terbahagi kepada beberapa kategori termasuk sebahagian daripada mereka yang bekerja di Singapura.

Menurutnya, mereka ini memilih untuk menjadi gelandangan ini kerana tidak mahu mengeluarkan duit untuk menyewa bilik dan akan berada di jalanan sehingga tiba masa kembali bertugas di republik itu.

“Ada juga gelandangan yang dalam kalangan keluarga susah dan tidak ada arah tuju, yang ini kita akan pindahkan ke tempat penempatan sementara.”

“Bagi yang mengalami masalah kesihatan atau mental, kita akan hantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini