comscore
Tumpuan :
Nasional

JKM Tunggu Laporan Penuh Kes Remaja Larikan Bayi


SEPANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak mahu mengganggu siasatan polis berhubung kes remaja perempuan yang juga suspek utama dalam insiden melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya akan membuat tindakan susulan selepas menerima laporan penuh daripada pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan polis bagi mendapatkan laporan penuh berkenaan kes itu.

“Saya sudah mengarahkan pegawai JKM untuk meneliti kes ini dengan lebih terperinci termasuk menyalurkan bantuan yang sepatutnya kepada keluarga dan bayi terbabit,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat Sempena Kempen Membenteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Bangkong, Sepang hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Selasa lalu, media melaporkan polis menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang juga suspek utama dalam insiden melarikan seorang bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

Lima individu berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi di sebuah pondok di Machang Bubok dan sebuah rumah di Kulim, Kedah.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, JKM akan membuat permohonan mahkamah bagi menempatkan remaja terbabit di pusat jagaan dibawah pegawai pembimbing JKM kerana masih di bawah umur.

Namun, katanya, ia tertakluk kepada perintah mahkamah sama ada remaja terbabit ditempatkan di penjara khas bagi kanak-kanak sekiranya didapati bersalah.

“Sebarang hukuman diputuskan mahkamah ke atas remaja itu tertakluk kepada undang-undang sedia ada,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini