comscore
Tumpuan :
Nasional

JKNJ sedia laporan penuh kes budak 12 tahun meninggal akibat strok haba

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menyediakan laporan lengkap mengenai kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang meninggal dunia akibat didakwa mengalami strok haba, di Kluang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata JKNJ sudah menerima laporan awal kes kanak-kanak itu dengan maklumat lanjut sedang diperincikan.

“JKNJ sedang menyiapkan laporan penuh mengenai kes itu supaya maklumat lebih tepat mengenai punca sebenar kejadian itu dapat didedahkan kepada umum.

“JKNJ akan mengeluarkan laporan media kes itu sebaik laporan penuh kes itu siap hari ini juga,” katanya ketika dihubungi.

Media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira 7 pagi semalam, disyaki disebabkan strok haba.

Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, dilaporkan berkata anak keduanya Airiel Syahren disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat ‘septic shock secondary to meningoencephalitis’ di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu, mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira 10 malam Ahad lalu.

Loading...
Terkini