comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah ingkar PKPP semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Seramai 238 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika Operasi Pematuhan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesemua individu berkenaan ditahan atas pelbagai alasan termasuklah mengadakan aktiviti pub dan kelab malam serta tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Daripada jumlah itu, 42 individu ditahan direman manakala 196 individu lagi dikenakan kompaun.

Sembilan individu ditahan kerana aktiviti pub dan kelab malam dan 229 individu tidak mengikut SOP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, untuk semalam sahaja PDRM sudah membuat sebanyak 64,687 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pemantauan diadakan di 3,962 pasar raya, 6,321 restoran dan 2,018 penjaja,1,245 kilang; 3,748 bank dan 759 pejabat kerajaan. Turut dipantau ialah 1,164 terminal pengangkutan darat, 246 terminal pengangkutan air serta 102 terminal pengangkutan udara.

“Selain pemantauan berkenaan, PDRM turut bekerjasama dengan beberapa agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia bagi mengawal sempadan negara daripada dimasuki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Dari 1 Mei hingga semalam, seramai 2,491 PATI, 596 tekong serta 144 penyeludup, 96 bot dan 257 kenderaan berjaya ditahan. Selain itu, petugas Ops Benteng juga berjaya mengusir 257 PATI, sembilan tekong serta 37 bot yang terbabit dalam cubaan menceroboh sempadan negara,” katanya.

Loading...
Terkini