comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Johor terus catat penurunan

Keadaan banjir di Johor semakin baik dan jumlah mangsa terus mencatatkan penurunanan apabila mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan apabila seramai 2,157 orang daripada 607 keluarga masih berada di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata penurunan itu selepas 409 orang membabitkan 113 keluarga dari empat PSS di daerah terjejas banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, tiga PPS di Kluang yang menempatkan 422 penduduk daripada 117 keluarga ditutup antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang tadi.

“Ia membabitkan penduduk Kampung Sri Lukut, Kampung Tanah Runtuh dan Kampung Contoh yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang Batu 28, Dewan Pusat Banjir Jakoa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.

“Turut ditutup PPS di Balai Raya Kampung Durian Chondong, Tangkak pada jam 12 tengah hari tadi yang menempatkan lima penduduk daripada sebuah keluarga, tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika ini hanya empat daerah masih terjejas banjir iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat manakala Kluang dan Tangkak pulih sepenuhnya.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata mangsa banjir di Kota Tinggi mencatat penurunan kepada 340 orang daripada 86 keluarga berbanding 422 magsa membabitkan 105 keluarga semalam.

Beliau berkata, mangsa banjir di Segamat dan Mersing pula tidak mencatat perubahan dengan 92 orang daripada 28 keluarga di Segamat dan 830 orang membabitkan 243 keluarga di Mersing.

“Situasi berbeza di Batu Pahat apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 895 orang daripada 250 keluarga berbanding 786 penduduk membabitkan 224 keluarga,” katanya.  – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini