comscore
Tumpuan :
Nasional

Jumlah pengguna muda rokok elektronik meningkat 7.5 peratus dari 2011-2023

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Global Adult Tobacco Survey (GATS) atau Tinjauan Tembakau Dewasa Global terbaharu tahun lalu menyaksikan perubahan ketara terhadap prevalens pengguna rokok eletronik terutama golongan muda.

Ia berasaskan perbandingan daripada kajian pertama yang dilakukan pada 2011.

Dalam penemuan utama GATS tahun lalu mendapati prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun lalu terutama dalam kalangan perokok umur 15 hingga 24 tahun.

Bagi kumpulan usia sama, ia menyaksikan peningkatan daripada 1.1 peratus pada 2011 kepada 8.6 peratus pada 2023.

Malah perkara yang turut membimbangkan apabila prevalens dwi-pengguna (tembakau dan rokok elektronik) juga turut meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023.

“Selain itu, tiada perubahan yang dikesan pada prevalens perokok dewasa yang berhenti merokok, prevalens tingkah laku penjagaan kesihatan oleh perokok dan prevalens perokok yang melakukan percubaan berhenti merokok pada tempoh 12 bulan lalu,” kata laporan itu.

Perkara itu didedahkan dalam penemuan utama Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) serta GATS di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Menurut laporan itu, prevalens perokok tembakau semasa menurun secara signifikan daripada 24 peratus pada 2011 kepada 19.5 peratus pada 2023.

Kata laporan itu lagi, pendedahan terhadap asap tembakau di rumah, tempat kerja, dan pengangkutan awam menurun secara signifikan dari 2011 kepada tahun 2023.

“Ia menunjukkan prevalens orang dewasa yang menyedari informasi anti-merokok di internet meningkat secara signifikan daripada 17.7 peratus pada tahun 2011 kepada 59.3 peratus pada 2023.

GATS di Malaysia membabitkan 5,780 isi rumah berusia 15 tahun ke atas yang dipilih secara rawak dengan responden yang memberi balas terhadap tinjauan adalah seramai 4,269 orang.

Pengumpulan data itu dilakukan selama dua bulan antara Jun dan Julai 2023 di seluruh negeri dan wilayah persekutuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini