comscore
Tumpuan :
Nasional

“Kami akan terus menuntut keadilan walaupun dia dah tiada” -Abang

Mangsa, Shahril Samad

Oleh: Aisyah Musa

BANDAR BARU BANGI: Keluarga Allahyarham Shahril Samad, 41 yang terlibat dalam kes diikat dan dipukul hingga mati di Taman Pelangi Semenyih 2, pada 20 Februari lalu akan terus menuntut keadilan.

Abang sulung daripada tujuh beradik itu, Shah Rizad Samad, 43 berkata, dia tidak berharap banyak melainkan kes diselesaikan dengan segera.

“Ini baru sahaja langkah yang pertama, kita akan terus bersama dalam setiap perbicaraan yang berlangsung dan kami sekeluarga akan bersama walaupun arwah sudah tiada,” katanya ketika ditemui.

Shah Rizad menyifatkan mangsa amat rapat dengannya dan ahli keluarga serta tidak pernah bermusuh.

“Memang paling terkesan anak buah lah, sebab dia rapat dengan anak buah kan.

“Apa-apa anak buah nak, dia cuba sedia walaupun dia bujang berpendapatan pun tidak seberapa,” jelasnya.

Sementara itu, adik mangsa Shazuan Samad, 27, berkata, pihaknya menunggu lanjutan kes mahkamah dan terus menuntut keadaan mangsa yang juga abangnya itu.

“Saya nak hukuman yang setimpal itu je,” katanya.

Hari ini lima lelaki penghantar makanan didakwa di Mahkamah Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lelaki sehingga maut susulan kemalangan di Taman Pelangi, Semenyih 2, pada 20 Februari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Terdahulu, media melaporkan mangsa telah diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan dan dipukul sehingga maut.

Kejadian pada 20 Februari itu dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit dalam kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikatakan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Loading...
Terkini