comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 28 bulan dicederakan teman lelaki ibu

JEMPOL: Kanak-kanak berusia 28 bulan mengalami kecederaan selepas perbuatan itu dilakukan oleh teman lelaki ibunya.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata mangsa sebelum itu dibawa oleh suspek berusia 35 tahun ke sebuah pasar raya di Bahau pada jam 8.30 malam semalam (3 April) bagi membeli barang keperluan tanpa ditemani ibu mangsa.

Katanya apabila mangsa dihantar pulang oleh suspek pada jam 10.10 malam, nenek mangsa mendapati mangsa dalam keadaan menangis sebelum membuat pemeriksaan keatas cucunya itu.

“Warga emas berusia 66 tahun kemudian mendapati kesan luka pada bibir, kesan merah pada kedua-dua belah telinga dan kesan lebam pada lengan kiri mangsa dan mengesyaki mangsa di cederakan.

“Nenek mangsa kemudian cuba menghubungi anaknya bagi bertanyakan apa yang berlaku namun gagal disebabkan sudah keluar dengan suspek sebelum nenek mangsa membuat laporan polis pada jam 12.10 tengah malam tadi di Balai Polis Bahau,” katanya hari ini.

Hoo berkata mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol bagi menjalani pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka pada gegendang telinga kiri, lebam pada kedua-dua telinga, luka pada bibir bawah serta lebam pada muka dan lengan kiri.

Katanya mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah bagi pemeriksaan lanjut.

“Suspek yang sudah tiga bulan menjadi teman lelaki ibu mangsa kemudian ditangkap bagi membantu siasatan dan suspek mengaku mencederakan mangsa ketika berada didalam kereta di hadapan sebuah pasar raya.

“Suspek bertindak mencederakan mangsa disebab mangsa enggan mengikutnya keluar dari kereta dan berang selepas jari telunjuk kirinya digigit mangsa sehingga berdarah,” katanya.

Hoo berkata suspek yang bekerja sebagai mekanik direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini