comscore
Tumpuan :
Nasional

Karyawan mahu pihak berkuasa tegas, haramkan artis luar negara ada rekod buruk 

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez

Oleh: Izzatie Rizan
KUALA LUMPUR: “Tiada Kompromi! Mana-mana artis dari luar negara yang mempunyai kesalahan serta rekod lampau sepatutnya tidak dibenarkan mengadakan persembahan di negara ini”.

Ketegasan itu disuarakan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) susulan tindakan kumpulan The 1975 dari United Kingdom yang melakukan aksi biadab di pentas konsert Good Vibes Festival 2023 di Sepang, Jumaat lalu.

Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata ia bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, sekaligus mengelak penganjur terpalit serta mengalami kerugian besar.

“Satu pengajaran sebenarnya buat semua penganjur, sebelum mereka mengadakan konsert sepatutnya sudah jelas, ada kontrak Aku janji daripada artis antarabangsa itu untuk ikut undang-undang Malaysia dan tidak menimbulkan apa-apa isu dan masalah.

“Bila sudah janji…berlaku sebaliknya bila naik atas pentas jadi perkara tak sepatutnya. Jadi saya rasa satu pengajaran. Mana-mana penganjur harus elak bekerjasama dengan artis kontroversi macam ini,” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya antara garis panduan penting Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara(PUSPAL)  yang perlu dipatuhi adalah tidak menyentuh sebarang sensitiviti agama dan bangsa di negara ini.

Malah artis juga tidak boleh mempromosikan rokok, minuman keras mahupun produk seks.

Menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai kurang ajar, Freddie berkata sudah tiba masa diwujudkan garis panduan baharu membabitkan penganjur dan artis luar negara yang mengadakan persembahan di negara ini.

“Tengok apa yang berlaku…berapa banyak kerugian kepada penganjur kepada pembekal, kepada mereka yang berniaga buka gerai di sana. Ini adalah festival besar…tapi semuanya hancur sebab orang yang kurang bijak ini,” tegasnya.

Semalam Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, penyertaan kumpulan The 1975 dalam Good Vibes Festival 2023 pada awalnya sudah ditolak PUSPAL.

Penganjur festival terbabit kemudian membuat rayuan kepada pihak berkenaan.

“Namun, penganjur festival dan pengurus kumpulan itu memohon rayuan berserta aku janji, bahawa mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert mereka,” kata Fahmi.

 

Sementara itu, rata-rata penganjur majlis dan acara yang ditemui menggesa prosedur operasi standard (SOP) melibatkan konsert artis luar negara ketika ini ditambah baik supaya memberi kuasa kepada penganjur untuk memberhentikan persembahan artis yang melanggar peraturan ditetapkan.

“Saya rasa apa yang berlaku tempoh hari ini sangat-sangat berada di luar jangkaan sesiapa pun, penganjur Good Vibes ini lama dalam bidang industri konsert malah sudah beratus konsert mereka dah anjurkan.

“Kita kena paham produksi untuk persembahan kumpulan 1975 adalah daripada team mereka sendiri, pihak produksi tempatan.. tidak ada kuasa tutup microphone atau lampu LED. Tidak ada kuasa untuk menahan mereka dan kalau saya pun tak tahu nak buat apa”, tegas Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Shirazdeen mengganggarkan kerugian minimum terpaksa ditanggung penganjur konsert Good Vibes ekoran pembatalan baki dua hari festival terbabit mungkin mencecah RM15 juta.

Kerajaan semalam mengarahkan baki dua hari Good Vibes Festival 2023 yang sepatutnya berlangsung sehingga Ahad dibatalkan serta merta susulan kontroversi dicetuskan oleh The 1975.

Persembahan kumpulan itu dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Dia didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Loading...
Terkini