comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi jika ingkar patuhi skim kawalan harga – KPDN

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengadakan tinjauan program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2023 di Pasaraya Aeon, Midvalley. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan peniaga yang enggan mematuhi arahan skim kawalan harga ditetapkan kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata walaupun pihaknya tidak gemar mengeluarkan amaran dan lebih mengamalkan diplomasi dapat penguatkuasaan, ia sama sekali tidak bermaksud kementeriannya akan memandang remeh isu peniaga ingkar.

“Kita lebih suka membuat libat urus dengan peniaga dan mereka boleh menjadikan pasar raya hyper dan pasar raya sebagai contoh,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan Kos Sara Hidup Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2023 dekat sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN Azman Mohd Yusof, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam, Pengarah Urusan KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin danPengarah Urusan (MD) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aeon Co (M) Bhd, (Aeon) Ono Keiji.

Salahuddin berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan harga jualan barangan di pasar raya itu kerana dijual lebih rendah daripada skim harga kawalan.

Lapan barangan ditetapkan KPDN untuk harga kawalan semasa Tahun Baru Cina termasuk kobis bulat (Indonesia dan China) , kentang (China), bawang putih (China), ikan bawal putih dan udang putih.

“Tinjauan kita mendapati beberapa barangan dijual di bawah paras harga kawalan. Kobis bulat sebagai contoh dijual di pasar raya hyper ini pada harga RM2.80 sekilogram berbanding harga maksimum RM4 sekilogram, manakala kentang juga dijual lebih rendah pada harga RM3.50 berbanding RM4 harga maksimum sekilogram,” katanya.

Salahuddin berkata, kerjasama pemborong, peniaga, peruncit dan pengguna amat penting dalam memastikan kejayaan program harga kawalan itu berjaya di semua peringkat.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa KPDN Azman Adam, setakat hari ini satu kompaun sudah dikeluarkan KPDN kepada peniaga.

“Kompaun berkenaan adalah kerana peniaga gagal mempamerkan label merah jambu yang menunjukkan barangan tersebut adalah barangan kawalan harga,” katanya.

Azman berkata, label berkenaan membezakan produk yang dijual sama ada ia adalah keluaran tenpatan atau import.

“Kementerian tidak mengawal produk keluaran tempatan, label yang jelas penting supaya pengguna tahu harga barangan tersebut,” katanya.

Loading...
Terkini