comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada kompromi, polis terlibat salah laku akan disingkirkan – KP Johor

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar (empat dari kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Op Selamat Tahun Baharu Cina 21/2024 Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas di sini, hari ini. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan mengambil tindakan tegas termasuk menyingkirkan pegawai dan anggota daripada kontinjen itu jika didapati melakukan kesalahan jenayah atau terbabit dengan isu integriti dan salah laku.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ia termasuklah tindakan terhadap lapan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang ditahan kelmarin, bagi membantu siasatan satu kes pemerasan membabitkan wang RM35,000.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan berhubung kes itu dan pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya mereka didapati benar terbabit dalam kes berkenaan.

“Amanat Tan Sri Ketua Polis Negara (KPN) amat jelas yang mana polis tidak akan berkompromi (isu salah laku).

“Saya selaku Ketua Polis Johor juga sudah beritahu, jika ada segelintir yang terlibat dengan masalah salah laku ini, hala tuju kita adalah untuk pastikan mereka yang segelintir tetapi merosakkan susu sebelanga ini disingkirkan daripada pasukan.

“Kita tiada kompromi dalam isu integriti, salah laku jenayah dan rasuah,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Op Selamat Tahun Baharu Cina 21/2024 Kontinjen Johor di Plaza Tol Kempas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan siasatan kes membabitkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota IPD Seri Alam yang dipercayai terbabit satu kes pemerasan.

Kumar berkata, setakat ini kelapan-lapan penjawat awam yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu masih di dalam tahanan reman sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Kita akan maklumkan perkembangan siasatan kelak,” katanya.

Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun membuat laporan polis mendakwa seorang anggota polis memintanya RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Difahamkan, pengadu hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa adiknya masih tidak dibebaskan sehingga kini.

Enam lelaki dan dua wanita yang juga pegawai serta anggota polis IPD Seri Alam kemudian ditahan kira-kira jam 2 pagi kelmarin bagi siasatan lanjut kes.

Loading...
Terkini