comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kastam rampas rokok seludup RM4.2 juta, disorok bersama mi segera

 

Oleh: Selwam Arjunan

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok putih tidak bercukai bernilai RM4.2 juta dalam operasi di Pelabuhan Klang, pada 26 Oktober lepas.

Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, hasil risikan pasukan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang kira-kira jam 3.15 petang.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,832 kotak bertanda ‘Instant Noodles’ mengandungi rokok putih disyaki tak berkastam yang dicampur bersama dagangan mi segera.

“Kami merampas 5.8 juta batang rokok melibatkan nilai anggaran RM461,721.60 dan cukai berjumlah RM3,698,390.02,” katanya dalam sidang media di Kompleks Pencegahan JKDM Negeri, di sini, siang tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kontena terbabit dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan dan penghantaran yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

Berdasarkan dokumen yang diperolehi, dagangan berkenaan disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Barat.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pengurus syarikat penghantaran yang beroperasi di Klang ditahan untuk membantu siasatan.

“Modus Operandi yang digunakan adalah dengan mengikrar rokok sebagai ‘Noodle Soup’ dalam manifest import dan disorokkan di dalam kotak dilabel mi segera.

“Ada kotak yang dicampur bungkusan mi dan rokok di hadapan kontena untuk mengaburi mata pihak berkuasa, sementara kotak berisi rokok diletakkan di bahagian belakang kontena,” katanya lagi.

Kata beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti suspek utama yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan itu.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini