comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebanyakan kawasan di Pulau Pinang alami gangguan bekalan air

Foto hiasan

GEORGETOWN: Kebanyakan kawasan di Pulau Pinang mula mengalami gangguan bekalan air sejak awal pagi tadi.

Pada masa sama, beberapa kawasan termasuk di daerah timur laut Georgetown, Seberang Prai Utara dan Seberang Prai Tengah berdepan tekanan air rendah.

Selain itu, gangguan bekalan air turut berlaku dari selatan Bukit Dumbar ke Balik Pulau (Pulau Betong, Bukit Penara, Pondok Upeh dan Bandar Balik Pulau) dan daerah Seberang Prai Selatan.

Dalam notis amaran yang dikeluarkan pada jam 4 pagi di laman Facebook Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), ia memaklumkan kualiti air mentah di muka sauk Lahar Tiang merekodkan tahap kekeruhan melebihi 1,500 Nephelometric Turbidity Unit (NTU).

NTU merujuk kepada kepekatan pepejal terampai di dalam air.

Bacaan melebihi 3,000 menyebabkan air mentah tidak boleh dirawat.

Sehubungan itu, katanya, pengeluaran air dari loji rawatan Sungai Dua hanya beroperasi pada kapasiti 30 peratus.

“Tahap kekeruhan air yang tinggi berpunca daripada banjir di daerah Baling, Kedah.”Kami sentiasa menjalankan pemantauan dari masa ke masa,” katanya.

“Sebarang kesulitan, amat dikesali,” katanya.

PBAPP mula memantau kualiti air mentah di muka sauk Lahar Tiang sejak Rabu berikutan hujan berterusan dan banjir di Baling.

Pada jam 1 pagi tadi kualiti air mentah di muka sauk Lahar Tiang telah melebihi 500 NTU.PBAPP memberi amaran pengeluaran air dari loji rawatan Sungai Dua dijangka dikurangkan secara beransur-ansur.

Ia juga menasihatkan semua pengguna supaya menyimpan air secukupnya untuk kegunaan kecemasan.

Pada awal Julai tahun lalu, Loji Rawatan Air Sungai Dua telah ditutup berikutan kekeruhan air mentah yang terlalu tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling.

Berikutan situasi itu, 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun berdepan gangguan bekalan air.Gangguan air tidak berjadual itu menyebabkan situasi huru-hara apabila orang ramai bertindak membuat pembelian panik air mineral.

[VIDEO] 3 jambatan runtuh akibat banjir, 100 keluarga dipindahkan di Baling

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini