comscore
Tumpuan :
Nasional

Kecurian REE: SPRM akan panggil Sanusi bila tiba masa

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. – Foto NSTP

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih perlu memanggil beberapa saksi lain untuk memberi keterangan berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata setakat ini agensi itu belum memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu berkenaan.

Artikel berkaitan: REE: Tidak mahu jawab, itu tanda Sanusi sudah panik – Saifuddin Nasution

“Siasatan masih lagi dijalankan oleh pihak kami yang mana seperti dimaklumkan, beberapa orang sudah ditahan antaranya membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif, pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan kerajaan negeri Kedah.

“Dan daripada sini, kita masih lagi perlu untuk mendapatkan keterangan daripada saksi lain,” katanya pada sidang media selepas sesi temubual Cakna Rasuah Bersama SPRM menerusi segmen Tamu Kito di Negeri FM, petang tadi.

Azam berkata, bagaimanapun siasatan masih lagi berjalan dan akan memanggil Muhammad Sanusi apabila tiba masanya kelak.

“Berhubung dengan Menteri Besar Kedah, kita belum lagi memanggilnya kerana kita masih lagi perlu mendapatkan keterangan lain dan bila sampai nanti kita akan panggil beliau,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, semua 10 EXCO kerajaan negeri dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM berkaitan isu terbabit.

Katanya, SPRM bagaimanapun belum menghubungi beliau untuk berbuat demikian dengan sebahagian EXCO terbabit sudah memberi keterangan, manakala sebahagian lagi akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

Pada 20 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
Azam Baki dilaporkan berkata, semua saksi yang dipanggil sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk Muhammad Sanusi.

Sehari sebelum itu, SPRM menahan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan masing-masing di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.

Pada Isnin lalu, seorang lagi pegawai kanan Menteri Besar Kedah ditahan SPRM selepas penahanan seorang pembantu kepada pemilik syarikat, menjadikan setakat ini seramai empat orang ditahan.

Loading...
Terkini