comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedai makan musnah terbakar, peniaga rugi lebih RM50,000

 

FOTO: NSTP

MACHANG: Seorang peniaga kedai makan di Bandar Machang rugi lebih RM50,000 selepas dua lot kedai disewanya musnah dalam kebakaran tengah hari semalam.

Menurut Zulfikar Mokhtar, 46, sebelum kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, dia menjerang air sebagai persiapan awal dan meninggalkannya seketika kerana menemui seseorang berhampiran kedai untuk pemasangan internet di kedai makannya.

“Selang lima minit, saya mendengar letupan sangat kuat dan bergegas ke ruangan dapur, namun terkejut melihat api sudah marak.

“Saya cuba mengambil beberapa dokumen penting, namun api yang marak menyebabkan bulu kening sebelah kanan dan rambut terkena api.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya segera keluar daripada kedai yang terbakar dan tidak ada apa yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di lokasi kebakaran.

Katanya, jarak rumahnya dengan kedai hanya 500 meter menyebabkan isterinya, Rohana Abd Wahab, 43, yang pada ketika itu sedang bersiap untuk ke kedai bergegas keluar selepas mendengar bunyi letupan yang kuat.

“Dalam kekalutan itu, seorang individu menghubungi balai bomba terdekat, namun bernasib baik tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku.

“Mujurlah pada ketika itu juga tidak ada pelanggan di kedai memandangkan kedai yang menjual masakan panas ini dibuka pada jam 3 petang,” katanya.

Zulfikar berkata, dia telah berniaga di situ sejak 12 tahun lalu dan ia adalah sumber pendapatan utamanya bersama isteri bagi menyara keluarga.

“Saya kini buntu bagaimana untuk memulakan semula perniagaan kedai makan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini