comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Kedaulatan & autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak – Zaliha

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia berhubung rundingan Triti Pandemik Perjanjian Konvensyen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO CA+) dan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Jelasnya, Malaysia belum memuktamadkan sebarang keputusan meraktifikasi atau menolak instrumen baharu WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 sebelum satu Disember depan.

Malah rundingan penyediaan dokumen Intergovermental Negotiating Body (INB) WHO CA+ masih di peringkat awal dan tiada keputusan akan diberikan sehingga segalanya dipersetujui.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abdul Kadir pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

WHO CA+ bermatlamat mencapai kesaksamaan dan keberkesanan lebih besar untuk pencegahan, kesediaan dan tindak balas wabak melalui kerjasama antarabangsa sepenuhnya.

Namun dikhuatiri akan meluaskan kuasa WHO sekali gus mencetuskan peruntukan dalam perjanjian dengan menggalakkan mana-mana kerajaan mengetepikan hak harta intelek mereka.

“Malaysia berpandangan adalah penting untuk negara-negara maju membantu negara-negara membangun dengan sumber-sumber yang mereka ada dan pengagihan sumber mestilah adil dan saksama,” tambahnya.

Dr Zaliha berkata, Malaysia dipacu oleh matlamat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kuat dan lestari.

“Malaysia mengiktiraf keperluan untuk membangunkan kapasiti, kerjasama yang kukuh dan koordinasi dalam kalangan industri untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang wabak pada masa akan datang.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan sumber-sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global, menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh,” katanya.

Loading...
Terkini