comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kehilangan Zayn Rayyan: Polis belum temui petunjuk

 

PETALING JAYA : Walaupun sudah lebih 24 jam hilang, polis belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Setakat jam 3 petang tadi, kanak-kanak itu masih belum dijumpai.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, operasi dengan kerjasama pasukan K9 dan bomba dijalankan di kesemua bangunan perumahan serta kawasan berhampiran.

Namun, sehingga kini belum ada petunjuk mengenai keberadaan mangsa.

“Kita juga sudah merakam keterangan ibu bapa mangsa. Pencarian masih lagi diteruskan namun,” katanya.

Polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.36 petang semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata, kali terakhir kanak-kanak itu berada di kawasan perumahan di Apartment Idaman, Damansara Damai dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.

Ismanira ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan (gambar kecil) yang dilaporkan hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, sejak semalam. – FOTO: NSTP

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Ismanira Abdul Manaf, 28, berkata dia dan suami memohon bantuan kariah masjid dan surau berhampiran untuk melakukan solat hajat supaya anaknya selamat dan segera ditemui.

“Zayn ini anak istimewa, dia lari sangat laju dan dia pernah saja masuk ke rumah orang lain tapi setakat ini belum pernah hilang kerana ke mana saja pergi memang bersama saya atau ayahnya. Dia mahu apa-apa pun selalu akan minta kebenaran kami.

“Sekiranya operasi pencarian dihentikan, saya akan teruskan pencarian sehingga anak saya ditemui semula,” katanya merayu orang ramai membantu menghebahkan kehilangan Zayn.

Terdahulu, Ismanira berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang. Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak berusia 6 tahun itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini