comscore
Tumpuan :
Nasional

“Saya harap ada orang baik yang temuinya”

PETALING JAYA: “Zayn hanya boleh menyebut mummy, daddy”

Itu kata Ismanira Abdul Manaf, 28, ibu kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sejak semalam.

Kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matiin disedari  Ismanira di Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebelum kejadian dia mengambil Zayn di Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Namun, sebaik tiba di kawasan perumahan, anak sulung daripada dua beradik itu tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

“Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

“Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn mengekori saya dari belakang.

“Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismanira kemudian mencari anaknya itu di kawasan sekitar namun gagal ditemui sebelum memberitahu suami dan penduduk setempat yang turut membantu mencari Zayn.

Malah, katanya, usaha pencarian mereka turut mendapat bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta unit anjing pengesan (K9) polis yang melakukan operasi pencarian di sekitar Damansara Damai sehingga malam tadi.

“Saya bimbang keselamatan Zayn kerana dia tidak pernah berseorangan dan hanya boleh menyebut mummy, daddy. Saya harap ada orang baik yang temuinya,” katanya.

Ismanira merayu orang ramai membantu mengesan anaknya itu dan berharap Zayn segera ditemui dengan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.36 petang.

Beliau berkata, kali terakhir kanak-kanak itu berada di kawasan perumahan di Apartment Idaman dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini