comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelonggaran baharu bagi permohonan PPAM beri kelegaan buat pesara dan penjawat awam

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Kos sara hidup dan harga hartanah yang kian meningkat membuatkan rata-rata pesara dan penjawat awam dalam tempoh kontrak masih tidak mampu memiliki kediaman yang diimpikan.

Mereka kini boleh menarik nafas lega apabila turut dikategorikan sebagai layak untuk memohon rumah di bawah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Bagi Penolong Pegawai Pemelihara Hutan di Jabatan Perhutanan, Zulkifli Mat, 55, langkah berkenaan amat membantu golongan penjawat awam, lebih-lebih lagi kepada mereka di bandar yang memerlukan kos sara hidup lebih tinggi berbanding luar bandar.

“Mereka yang bertugas di bandar sudah semestinya mengimpikan kediaman sendiri dan tidak mahu menyewa dalam tempoh masa yang lama, justeru inisiatif ini dilihat dapat melegakan mereka.

Malah ia juga dilihat sangat membantu kepada golongan yang bakal bersara juga, sebagai persiapan buat mereka dan keluarga,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3.

Sementara itu salah seorang kakitangan di Jabatan Kesihatan Malaysia, Suhaila Abd Ghani, 32, berpendapat sebelum ni penjawat awam yang berstatus kontrak sukar untuk melakukan permohonan untuk membeli rumah, dengan inisiatif terbaharu ini ia mampu mempermudahkan mereka memiliki kediaman impian yang selesa.

“Bagi saya inisiatif ini amat baik melihat kepada penjawat awam ini yang juga bersama melaksanakan kerja dan membantu meningkatkan sektor perkhidmatan awam di negara, dan mereka selayaknya diberi kelebihan itu,” ujarnya.

Guru di sebuah sekolah kebangsaan, Puteri Aimin Amira Jamaluddin, 28, mengakui situasi pada ketika ini menyukarkan penjawat awam untuk membeli rumah sendiri ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya mula membeli rumah pada tahun 2020 ketika pandemik COVID-19, dan pada ketika itu saya tidak perlu membayar deposit 10 peratus daripada harga hartanah yang ingin dibeli, namun selepas pandemik, saya melihat harga bagi sebuah rumah semakin bertambah disebabkan pembayaran berkenaan, sekali gus menyukarkan penjawat awam yang lain untuk membeli kediaman,” ujarnya.

Terdahulu Jabatan Perdana Menteri memaklumkan permohonan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) kini layak untuk dipohon oleh pesara kerajaan yang memiliki kad pesara, anak pesara dan penjawat awam melalui lantikan kontrak.

Malah ia turut terbuka kepada semua penjawat awam yang sedang berkhidmat membabitkan Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Persekutuan dan Badan Berkanun Negeri.

Sebelum ini, kelayakan permohonan bagi PPAM adalah untuk warganegara Malaysia yang terbuka kepada semua penjawat awam melalui lantikan tetap.

Loading...
Terkini