comscore
Tumpuan :
Nasional

Kelonggaran bersyarat untuk pengambilan jururawat terlatih warga asing

KKM melonggarkan sementara syarat pengambilan jururawat terlatih warga asing.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi kelonggaran bersyarat secara sementara kepada kemudahan kesihatan swasta untuk mengambil jururawat terlatih warga asing, bagi tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kelonggaran itu susulan langkah kerajaan mengkaji semula pengambilan jururawat terlatih warga asing seperti termaktub dalam ‘Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018’.

“Kekurangan tenaga kerja jururawat di sektor awam dan swasta memberi kesan besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini dan perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ia harus segera diatasi.

“Kriteria yang agak mengekang berkenaan pengambilan jururawat terlatih warga asing oleh pihak swasta, seperti termaktub dalam Employment Criteria for Foreign Trained Nurses In Malaysia 2018, dikaji semula dan diberi kelonggaran bersyarat sementara, demi kepentingan perkhidmatan yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Dr Zaliha berkata, pengambilan terbabit tertakluk syarat tertentu iaitu jururawat terlatih warga asing perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Katanya, walaupun tempoh sah pengambilan jururawat terlatih warga asing hanya untuk setahun sahaja, pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan lagi berdasarkan kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara dan ia akan dinilai semula mengikut keadaan serta keperluan semasa.

“Bilangan jururawat terlatih warga asing di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti berkenaan.

“Pengambilan jururawat terlatih warga asing juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak,” katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan melonggarkan syarat pengambilan jururawat terlatih warga asing disambut baik industri perubatan swasta kerana berupaya membantu mengoptimum operasi serta perkhidmatan mereka.

“Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta.

“KKM menjangka langkah ini akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, walaupun kelonggaran diberikan untuk pengambilan jururawat terlatih warga asing, KKM tetap prihatin dan memberi keutamaan kepada kebajikan serta prospek kerjaya jururawat tempatan.

“KKM akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

“Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara,” katanya.

Loading...
Terkini