comscore
Tumpuan :
Nasional

Sewakan premis kepada warga asing, lesen peniaga di Jalan Silang akan dibatal, digantung

Dr Zaliha Mustafa berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang di sini, yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

“Jadi, saya sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya… ia juga adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang semalam.

Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini