comscore
Tumpuan :
Nasional

Kemahiran insaniah ‘soft skills’ perlu ada untuk diambil bekerja 

Foto hiasan

Oleh: Fahim Akasha Musa

PETALING JAYA: Mana-mana individu yang memohon pekerjaan perlu meningkatkan tahap keupayaan diri jika mahu diambil bekerja.

Ini kerana keupayaan diri adalah penyumbang kepada peluang anda untuk dipilih terutamanya dari segi kemahiran interpersonal.

Naib Presiden (Graduan, Diaspora & Hubungan Industri) Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Nazrul Aziz berkata, menurut World Economic Forum (WEF), pekerjaan dan pasaran pekerjaan terus akan mengharungi gelombang perubahan yang pesat dengan risiko berjuta-juta pekerjaan berpotensi dihapuskan.

“Transformasi pekerjaan ini turut mendorong majikan dan industri untuk lebih kritikal dalam merekrut tenaga kerja baharu.

Naib Presiden (Graduan, Diaspora & Hubungan Industri) Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Nazrul Aziz.

“Proses merekrut tenaga kerja baharu terutamanya bakat muda adalah seperti pemikiran kritikal & kreatif, kemahiran penyelesaian masalah, komunikasi, fleksibiliti & daya tahan untuk mengadaptasi perubahan, pembelajaran sepanjang hayat dan beberapa lagi elemen insaniah yang relevan.” katanya kepada Buletin TV3.

Ujarnya lagi peluang pekerjaan setara kelayakan yang tidak seimbang turut menyumbang kepada kesukaran terhadap bakat untuk mendapat pekerjaan pertama selain faktor kurang menguasai elemen kemahiran insaniah yang tidak menepati piawaian dan keperluan industri semasa.

“Pelbagai inisiatif yang direncanakan kini kebanyakannya memberi tumpuan khusus dalam aspek kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang serba berkebolehan dalam mengharungi cabaran dalam pasaran buruh.

“Peluang pekerjaan dalam bidang TVET terus menunjukkan pertambahan positif penciptaan peluang kerja baharu menerusi kemasukan pelaburan-pelaburan domestik dan luar Malaysia baharu serta usaha penyaluran bakat TVET ke pasaran pekerjaan berkualiti akan terus memperkasakan ekosistem bakat TVET yang mampan.” katanya.

Tambahnya, hasil dapatan Kajian Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL), TalentCorp serta maklumbalas berterusan yang diterima daripada pihak industri menyatakan bahawa antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam usaha untuk merekrut graduan tempatan adalah jurang kemahiran insaniah seperti komunikasi, kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran berfikir secara kritis.

“Lanskap pasaran pekerjaan semasa memerlukan output IPTA, IPTS dan ILK yang sedia industri dan mempunyai kompetensi sejajar permintaan pasaran dan ekonomi semasa.” katanya.

TalentCorp giat berkolaborasi merentasi kementerian, agensi, industri dan institusi dalam pelbagai inisiatif antaranya pelaksanaan inisiatif Young Employable Students (YES!) untuk meningkatkan kebolehpasaran bakat muda negara atau Young Talent Employability Readiness.

Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk terus membangunkan modal insan negara kalis cabaran pekerjaan masa hadapan.

Loading...
Terkini