comscore
Tumpuan :
Nasional

Kematian pendaki di Alaska: Proses bedah siasat dijalankan esok

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Proses bedah siasat ke atas jenazah pendaki rakyat Malaysia yang terkandas dan meninggal dunia di pergunungan Denali, Alaska, Amerika Syarikat, Zulkifli Yusof, 37 dijadual dilakukan esok, iaitu Isnin waktu tempatan.

Perkembangan itu dikongsikan Kelab Jelajah Alpine menerusi kenyataannya awal pagi tadi, hasil maklumat oleh pegawai pemeriksa perubatan hospital di Anchorage dimana jenazah Allahyarham ditempatkan selepas dibawa turun dari gunung berkenaan jam 8:30 pagi semalam.

“Selepas bedah siasat selesai, proses selanjutnya ialah mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk urusan membawa jenazah kembali ke Malaysia dibantu oleh Konsular General Malaysia di Los Angeles dan pihak syarikat insuran,” menurut kenyataan Kelab Jelajah Alpine.

Selasa lalu, Allahyarham dilaporkan terkandas pada ketinggian 19,700 kaki di gunung berkenaan.

Sementara itu, dimaklumkan tahap kesihatan pendaki Zainudin Lot, 47 semakin baik dan telah dibenarkan keluar dari hospital di Talkeetna hari ini, iaitu Ahad waktu tempatan.

Manakala, Illaham Ishak, 47 masih menjalani rawatan di hospital di ⁠Anchorage.

“⁠Wakil Kelab Jelajah Alpine, Norsafrina Shamsir Md Nasir yang kini berada di Talkeetna Alaska akan membantu urusan untuk mengambil peralatan mendaki yang kini masih berada di pergunungan Denali yang perlu dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taman Negara Denali,” jelas kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini