comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan DNA tulang sama ada milik Bella diketahui 2 minggu lagi 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah

BATU PAHAT: Polis menjangkakan keputusan ujian DNA terhadap tulang yang ditemui berdekatan lokasi penemuan rangka Bella, di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, diketahui dua minggu lagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, ketika ini, pihaknya masih menunggu laporan kimia terhadap tulang ditemui, selepas dihantar ke Jabatan Kimia pada 29 Februari lalu.

Beliau berkata, ujian itu dilakukan bagi mengesahkan sama ada keenam-enam tulang terbabit kepunyaaan Bella atau Mila Sharmila Samsusah ataupun individu lain.

“Kita dalam proses untuk berusaha mendapatkan laporan itu dan saya percaya mungkin antara seminggu atau dua lagi,” katanya pada sidang media rampasan mercun di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, hari ini.

28 Februari lalu, enam ketul tulang iaitu bahagian paha, tulang betis dan tulang keting ditemui penemuan rangka Bella yang dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz berdekatan rumah sewa terbiar, Tongkang Pechah.

Kesemua tulang terbabit ditemui oleh pemandu jengkaut ketika melakukan kerja pembersihan tapak berhampiran rumah sewa terbiar, jam 11.30 pagi.

Susulan itu, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dipanggil untuk membantu siasatan di lokasi penemuan itu.Kesemua tulang dijumpai sudah dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk analisa perbandingan DNA.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status siasatan berhubung ugutan terhadap kakak Bella, Norhisham, 36, tiga hari lalu, Ismail berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mendapat IP akaun terbabit.

Beliau berkata, dalam siasatan sebelum ini, polis mendapati pemiliknya akaun yang dimaksudkan sudah ‘private’.

“Permohonan (daripada SKMM) adalah untuk mendapatkan siapa sebenar pemilik akaun terbabit, jika dah dapat, barulah kita jalankan siasatan seterusnya.

“Ini termasuk siasatan ke atas pelaku seperti yang didakwa dalam laporan polis pada 17 Mac lalu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini