comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Teman lelaki didakwa bunuh Bella

BATU PAHAT: Teman lelaki kepada  Mila Sharmila Samsusah atau Bella didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor atas pertuduhan membunuh wanita itu, bulan lalu.

Tertuduh Mohammad Haikal Mahfuz, 24, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asidah A Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan.

FOTO: NSTP

Mengikut pertuduhan, bekas posmen itu didakwa membunuh Bella, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian didakwa berlaku pada jam 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu.

FOTO: NSTP

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan perubatan.

Terdahulu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.

Turut kelihatan keluarga kedua-dua belah pihak yang menanti di perkarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat bagi mendengar pertuduhan berkenaan.

Mayat Bella ditemui dalam keadaan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar pada petang Jumaat lalu, selepas tertuduh membawa pihak polis ke lokasi.

Penemuan rangka itu merungkaikan semua misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama tertuduh pada malam 14 Disember lalu.

Semalam, polis dalam kenyataan media memaklumkan rangka ditemui itu adalah Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel diambil daripada ibu dan kakak Bella.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini