comscore
Tumpuan :
Nasional

Keputusan Lembaga Pengampunan kolektif, gesaan MUDA tak matang – Zaliha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada majlis Beramah-Mesra bersama Ketua-Ketua Pengarang di sebuah hotel, di ibu kota, malam tadi. -FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dipecat dari Kabinet susulan pengurangan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak, disifatkan sebagai gesaan tidak matang.

Zaliha berkata, keputusan dibuat Lembaga Pengampunan adalah bersifat kolektif dan tidak adil sekiranya ia ditujukan kepadanya susulan perkembangan terbabit.

“Itu pandangan peribadilah…bagi saya, kitapun kenalah tengok keputusan yang diambil itu adalah keputusan dari Lembaga Pengampunan, kolektif.

“Kalau hendak tuju pada saya…pada saya gesaan tidak matang,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu kepada media, di sini malam tadi.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, bekas Perdana Menteri itu turut perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Susulan itu, MUDA menerusi kenyataan berkata, Zaliha wajar dipecat kerana gagal dalam menjalankan tugasnya.

Menurut MUDA, keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 pada 29 Januari lalu memberi kesan mendalam menjangkau politik kepartian.

Ketika ditanya sama ada akan dikeluarkan rasional keputusan itu dibuat, Zaliha bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyatakan mengenai perkara terbabit.

“Apa-apa berkaitan pengampunan adalah daripada pihak lembaga, (saya) tidak boleh cakap lebih dari itu,” katanya.

Terdahulu, Zaliha mengadakan majlis sesi ramah mesra bersama ketua pengarang akhbar, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini