comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan akan perkenal plat khas untuk EV

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media di Putrajaya hari ini. Foto: NSTP.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan bingkai plat khas bagi kenderaan motor tanpa pelepasan (ZEV) atau kenderaan elektrik bagi membezakannya dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata plat khas itu akan dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dan dipasang terus pada kenderaan berkenaan.

“Kita akan perkenalkan plat khas, bukan nombor (pendaftaran kenderaan) bagi membezakan kenderaan ZEV dan ICE dalam tempoh terdekat.”

“Plat itu akan dikeluarkan oleh syarikat kenderaan berkaitan, jadi kita akan bekerjasama dengan mereka, seperti bahan yang akan digunakan dan sebagainya. Saya tidak mahu umumkan hari ini, tunggu nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan berhasrat menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan ICE susulan pengenalan fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan ZEV, Loke sekadar berkata tidak.

Jelasnya, kerajaan tidak berhasrat membuat perubahan pada fi LKM kenderaan ICE kerana kadar sedia ada adalah rendah dan berpatutan.

“Tidak (berhasrat turunkan fi LKM kenderaan ICE) sebab kita sekarang menggalakkan penggunaan ZEV dan kini kita tumpu kepada mengurangkan harga cukai jalan bagi ZEV.”

“Untuk kenderaan ICE sedia ada, kita buat masa ini tak buat perubahan kepada (harga) cukai jalan kerana kebanyakan rakyat kita masih guna ICE, sekiranya kita nak meningkatkan kadar itu, ia mungkin itu akan menjejaskan kos kepada mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini