comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan beri keutamaan naik taraf klinik kesihatan dan sekolah daif

 

ALOR SETAR: Kerajaan Perpaduan memberikan keutamaan terhadap usaha menaik taraf klinik kesihatan serta sekolah daif di negara ini dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kesihatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menumpukan usaha menyelesaikan segera isu kemudahan kesihatan dan sekolah daif di seluruh negara demi menjamin kebajikan rakyat dalam memenuhi keperluan pendidikan dan kesihatan mereka.

“Tahun ini juga, nah.. (peruntukan kerajaan) RM1.4 bilion selesaikan semua (baiki tandas, bumbung dan dinding sekolah daif) yang mana JKR (Jabatan Kerja Raya) buat, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) buat… tetapi jangan bagi tahu saya tak boleh baiki tandas di semua sekolah di negara kita termasuk di negeri Kedah.

Foto: NSTP

“Di (daerah) Kubang Pasu kalau ada sekolah  tandas yang tak dibaiki, perlukan peruntukan lagi, bagi tahu pejabat daerah dan pejabat daerah boleh hubungi saya, tak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesranya bersama warga masyarakat daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun baharu kira-kira 40km dari sini hari ini.

Anwar berkata di Kedah, kerajaan memperuntukkan RM10.1 juta untuk pembaikan 40 klinik kesihatan dan enam sekolah daif daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri itu.

“Di daerah Kubang Pasu, kerajaan memperuntukkan RM1.25 juta bagi kerja pembaikan empat klinik dan RM300,000 lagi peruntukan bagi pembaikan sebuah sekolah daif,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya yang Kerajaan Perpaduan yakin dapat menoktahkan kemiskinan tegar dengan membantu 130,000 ketua isi rumah (KIR) keluar daripada permasalahan itu pada tahun ini.

“Saya kata noktahkan kemiskinan tegar, nak hapuskan kemiskinan ambil masa, tetapi kemiskinan tegar ini makna kata susu anak tidak ada, pakaian tidak cukup, nak hantar anak pergi sekolah tidak ada duit, suruh anak berhenti (sekolah) sebab tak cukup makan.”…noktahkan kemiskinan tegar 130,000 keluarga…sebab itu bila saya di Parlimen ada orang bantah, ‘mana boleh buat, cakap saja’, tak apa saya kata Insya-Allah, sebelum akhir tahun ini 130,000 ini mesti kita bantu dengan segala jentera yang ada,” katanya.

Anwar berkata di daerah Kubang Pasu terdapat sejumlah 1,589 KIR yang berada dalam kategori miskin tegar dan beliau telah meminta agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bertindak menyelesaikan isu itu.

“(Selain itu), untuk (projek) bekalan air luar bandar di daerah Kubang Pasu, peruntukan kerajaan RM28 juta diluluskan untuk manfaat penduduk,” katanya.

Mengenai pembinaan Masjid Changlun yang baharu itu, Perdana Menteri berkata projek itu pada asalnya diluluskan pada 2017 dengan jumlah peruntukan RM3.5 juta, namun pelaksanaan projek mengalami kelewatan kemajuan fizikal atas beberapa faktor sehingga perlu dibuat penamatan kontrak.

Anwar berkata atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan, beliau mendapati masjid itu perlu disiapkan dengan segera bagi memberi manfaat kepada kariah setempat.

April lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju meneruskan projek pembinaan masjid itu dengan peruntukan tambahan RM3.07 juta yang menjadikan keseluruhan kos pembinaan Masjid Changlun berjumlah RM5.77 juta.

Pada majlis ramah mesra itu, Anwar juga menyerahkan replika cek peruntukan tambahan RM3.07 juta untuk projek pembinaan Masjid Changlun yang baharu itu.– BERNAMA

Loading...
Terkini