comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Komited Bela Nasib Wanita

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersifat inklusif dan tidak mahu sesiapapun termasuk golongan wanita tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, ia dibuktikan dengan penubuhan Majlis Wanita Negara (MWN), Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara (JEWN) dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri (JKWNi) pada November lalu, bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan sehingga ke peringkat negeri.

“Sempena Hari Wanita yang lalu, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) bagi melindungi wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual.

“Alhamdulillah, pada Khamis lepas, Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) tahun 2021 berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara dan akan berkuat kuasa secara berperingkat mengikut fasal.” katanya sempena Konvensyen Wanita Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM230 juta melalui Program DANANITA dan TEKUNITA serta RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita yang memfokuskan bidang keusahawanan dan perniagaan untuk golongan wanita.

Bagi tahun 2022 sehingga Julai, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM19.9 juta kepada 1,264 orang usahawan melalui Program TEKUNita.

“Kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) serta bekerjasama dengan NGO untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga.”

“Ini komitmen dan kesungguhan Kerajaan yang saya pimpin terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia. Saya mahu wanita di negara ini sentiasa dihormati dan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya.

Loading...
Terkini