comscore
Tumpuan :
Nasional

Apa yang anda perlu tahu mengenai Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024?

Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang serta memperjuangkan hak golongan berkenaan.

Sejarah Hari Wanita Antarabangsa bermula pada awal abad ke-20 di seluruh Amerika Utara dan Eropah.

Tujuannya; mengiktiraf perjuangan wanita untuk hak memilih, keadilan pekerjaan dan hak asasi manusia.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Hari Wanita Sedunia pertama kali diraikan di Amerika Syarikat pada 28 Februari 1909.

Pada 1945, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi perjanjian antarabangsa pertama yang mengesahkan prinsip kesaksamaan antara wanita dan lelaki.

Seterusnya pada 8 Mac 1975, PBB meraikan Hari Wanita Sedunia secara rasmi buat kali pertama.

Hari Wanita Sedunia diraikan secara rasmi buat kali pertama pada 8 Mac 1975, selepas disahkan Piagam PBB – Foto: Laman web rasmi PBB

Ia menjadi semakin penting dan diiktiraf secara meluas pada 1977 apabila Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan 8 Mac sebagai Hari Wanita Antarabangsa.

Tema kempen sambutan pada 2024 ialah ‘Inspire Inclusion’ yang menekankan kepentingan mengenai kepelbagaian dan pemerkasaan terhadap golongan wanita dalam semua aspek kemasyarakatan.

Ia menggariskan peranan penting penyertaan (inclusion) dalam mencapai kesaksasamaan jantina, memerlukan tindakan untuk memecahkan halangan, mencabar stereotaip dan mewujudkan persekitaran untuk semua wanita dihargai dan dihormati.

‘Inspire Inclusion’ menggalakkan semua individu mengiktiraf perspektif unik dan sumbangan wanita daripada semua lapisan masyarakat, termasuk mereka daripada komuniti terpinggir.

Senada dengan sambutan peringkat antarabangsa, tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’ dipilih bagi sambutan di Malaysia.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tema ini memberikan penekanan betapa pentingnya mewujudkan budaya inklusif dan kesaksamaan jantina pada semua
peringkat, sebagai usaha memartabatkan wanita di negara ini.

“Tema pada tahun ini juga mengangkat peranan dan sumbangan wanita yang merupakan tonggak utama dalam pembangunan sosial masyarakat.

“Wanita memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek seperti menjadi ibu, ketua keluarga, ketua masyarakat, penggerak komuniti profesional dan pemimpin global,” menurut kenyataan itu.

Antara objektif Sambutan Hari Wanita Antarabangsa ialah menyediakan platform bagi mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh wanita dalam pembangunan negara serta mendaya upaya peranan semua pihak dalam usaha memperkasa wanita.

Selain itu, menyebar luas maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat umum berkaitan peluang penyertaan dalam pelbagai bidang, isu sejagat dan cabaran semasa khususnya berkaitan wanita; dan mempamerkan komitmen Kerajaan dalam mengarus perdana kepentingan jantina.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini