comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perlu elak terlibat dalam perniagaan-Johari

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu lebih menumpukan perhatiannya dalam mentadbir negara dan bukannya cenderung untuk terlibat dalam perniagaan, kata bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengambil contoh pelancaran 5G, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kerajaan sewajarnya berurusan dengan syarikat telekomunikasi secara langsung berbanding menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB).

“Apabila kerajaan Thailand mahu melaksanakan 5G, mereka tidak menubuhkan entiti baharu untuk melaksanakannya. Ia dilancarkan dengan pantas dan lancar,” katanya dalam wawancara bersama portal FMT.

DNB sebuah entiti kegunaan khas 100 peratus milik Kementerian Kewangan Diperbadankan. Ia diberi tanggungjawab membina dan mengurus rangkaian 5G serta menjadi penyedia borong tunggal perkhidmatan 5G.

Teknologi 5G sepatutnya dilancarkan pada hujung 2021 namun pelancarannya dilanda kelewatan. Beberapa pengendali rangkaian tidak mahu membeli spektrum itu pada peringkat awal atas sebab harga dan berkaitan ketelusan.

Syarikat telekomunikasi kedua terbesar, Maxis, yang mempunyai kira-kira 20 juta pelanggan, dilaporkan masih belum menyertai rangkaian 5G DNB.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember mengarahkan pelancaran 5G dikaji semula kerana “tidak dilakukan secara telus, tanpa proses tender yang betul.”

DNB bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Kerajaan tubuhkan syarikat untuk berurusan dengan syarikat telekomunikasi tetapi mereka tiada keyakinan terhadap entiti kerajaan itu,” kata Johari.

Itu antara sebab mengapa kemajuan pelancaran 5G ketika ini hanya sekitar 40 peratus, kerana pelaksanaannya tidak mendapat sokongan penuh pemain industri, katanya.

Sekiranya pelaksanaan itu tidak berjaya, kerajaan yang membelanjakan kira-kira RM16.5 bilion untuk prasarana 5G bagi 80% liputan tidak akan dapat semula pelaburannya.

“Tetapi jika anda berikan kepada sektor swasta, mereka tahu cara mengendalikannya. Kita hanya perlu pastikan kita mengawal mekanisme untuk memastikan ia memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.”

Johari menganggarkan, hasil kira-kira RM5 hingga RM6 bilion boleh diraih daripada pajakan spektrum kepada penyedia rangkaian.

“Penyedia rangkaian itu kemudian akan melabur dalam pelancaran yang dipacu permintaan, yang bukan sahaja lebih pantas berbanding DNB tetapi sampai kepada golongan masyarakat dan industri yang perlukan 5G.”

Johari berkata, kesan gandaan ekonomi daripada kerahan sektor swasta akan mencipta lebih banyak pekerjaan.

“Itu yang sepatutnya dilakukan kerajaan, bukannya berniaga. Pemerintah (harus) tumpu pada mentadbir kerajaan dan mengutip cukai,” katanya.

“Apabila kerajaan mula berniaga, di situlah banyak masalah timbul,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini