comscore
Tumpuan :
Nasional

Johari ditawarkan jawatan Pengerusi Bersama Dialog FACT

Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyambut Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry di pejabatnya di Putrajaya. Foto X Datuk Seri Johari.

KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ditawarkan menjadi Pengerusi Bersama bagi Dialog Perhutanan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT).

Pelawaan itu dikemukakan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry ketika membuat kunjungan hormat ke pejabat Johari di Putrajaya, petang semalam.

Beliau berkata Dialog FACT adalah dialog antara kerajaan (G2G) untuk perbincangan mengenai pembasmian hutan, menangani krisis iklim dan biodiversiti serta ke arah amalan guna tanah lebih mapan.

“Dialog FACT yang saya dijemput sebagai pengerusi bersama ini akan membincangkan beberapa isu berkaitan beberapa bidang utama, antaranya pengeksportan komoditi negara dari segi perdagangan dan pembangunan pasaran. Selain itu, sokongan pekebun kecil, kebolehkesanan, ketelusan, penyelidikan pembangunan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi dalam komoditi,” katanya dalam muat naik di platform X, hari ini.

Dialog FACT serta hala tuju tindakannya dilancarkan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ke-26 di Glasgow, United Kingdom pada tahun 2021.

Ia adalah sebahagian daripada pengumuman ketika Persidangan Perubahan Iklim PBB mengenai Hutan dan Kelestarian, termasuk Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah.

Sebanyak 30 buah negara yang mewakili 75 peratus perdagangan agrikomoditi dunia hadir pada persidangan pertamanya itu.

Dialog FACT bertujuan mewujudkan tekad dalam kalangan negara anggota bagi melindungi hutan dan ekosistem, selain menggalakkan perdagangan dan pembangunan lestari serta menangani krisis iklim dan kepelbagaian biologi.

Ia ketika ini dipengerusikan United Kingdom dan Indonesia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini