comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perlu fikir kaedah, mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memikirkan kaedah dan mekanisme dalam pelaksanaan subsidi bersasar yang tidak memberi kesan kepada kumpulan B40 atau golongan memerlukan.

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata dasar subsidi bersasar diakui sukar dilaksana, memandangkan kaedah diguna pakai kerajaan dalam pemberiannya sebelum ini dibuat secara pukal.

“Subsidi bersasar bukan senang nak buat, tapi perlu dibuat, kerana semua kita punya subsidi, jumlah subsidi yang kita bagi, 1 tahun RM81 bilion.

“Kemudian, minyak petrol yang kita bagi kepada semua ini, kita beri subsidi minyak lebih kurang dalam RM50 bilion, 14% sahaja pergi ke B40, yang lain tu semua orang boleh pakai,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa terdahulu merasmikan White N Black Aquasport di Taman Tasik Titiwangsa.

Justeru, katanya kerajaan perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi melaksanakan subsidi bersasar terbabit.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan menjangkakan program subsidi bersasar akan dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU), dilengkapi maklumat lengkap sosioekonomi isi rumah di negara ini.

Tempoh percubaan PADU dijangka mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024.

Dalam pada itu, Johari turut menggesa lokasi serta produk pelancongan dinaik taraf kerana sektor berkenaan antara penyumbang besar kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Selain menjadi tempat rakyat beriadah, lokasi tumpuan itu juga akan menarik kehadiran pelancong luar yang mampu menggerakkan ekonomi setempat.

“Sebelum COVID-19, pelancongan ni menyumbang hampir, RM200 hingga RM250 bilion daripada tiket pelancongan yg datang ke negara kita, jadi kita akan bina balik selepas COVID-19 ni dan salah satu yang kita adakan di bandaraya Kuala Lumpur ni adalah Tasik Titiwangsa.

“Jadi dengan ada restoran yang macam White N Black secara tak langsung jadi tempat orang makan dan juga (melakukan) sukan air,” katanya.

Kemunculan aktiviti air di kawasan tumpuan orang ramai di tasik berkenaan bakal menjadikan ia ikonik baharu Kuala Lumpur.

Beliau turut mencadangkan pembinaan parkir bertingkat di kawasan rekreasi itu bagi mengatasi kesesakan yang sering berlaku.

Tambahnya, waktu operasi Taman Tasik Titiwangsa juga perlu dilanjutkan sehingga jam 11 malam pada hari minggu bagi membolehkan warga kota melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini