comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan setuju subsidi RM300 tiket penerbangan pelajar IPTA

 

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menanggung subsidi RM300 bagi pembelian tiket penerbangan khusus kepada pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

Foto hiasan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 56,000 pelajar dengan implikasi kos keseluruhan dianggar RM16.8 juta.

Katanya, mekanisme itu akan dilaksana bermula 15 Ogos depan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian ‘credit shell’ di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus”, katanya dalam satu kenyataan.

Pelajar yang layak menerima subsidi itu disyaratkan warga Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada 2023.

Ia juga hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/ Sabah/ Sarawak/ Labuan) dan tempat pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/ Sabah/ Sarawak/ Labuan).

“Inisiatif ini hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline. Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023,”katanya lagi.

Namun katanya, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

”Sekiranya harga tiket dibeli kurang RM300, baki baucer digital akan kekal dalam “credit shell” untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya”, menurut Loke.

Untuk memohon bantuan subsidi itu, pelajar universiti awam perlu membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan kelak.

Sekiranya pelajar didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui
universiti masing-masing.

 

 

Loading...
Terkini