comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya Macau Scam, pelajar IPTA rugi RM38,000 

Foto Hiasan

KANGAR: Gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Arau kerugian RM38,000.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata terdahulu mangsa berusia 20 tahun menerima panggilan telefon daripada individu kononnya pegawai polis dan mendakwa pelajar itu disiasat berhubung kes pengubahan wang haram serta sindiket dadah.

“Melalui panggilan itu, mangsa diberitahu kononnya akan ditangkap jika gagal memberi kerjasama bagi tujuan siasatan kes.

 

“Dia kemudian diarah memasukkan wang berjumlah RM38,000 ke dalam dua akaun bank yang berbeza kononnya untuk semakan duit dalam akaun bank milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa yang cemas bertindak memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

“Selepas memindahkan kesemua wang sebagaimana dikehendaki ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek, barulah mangsa sedar dirinya sudah ditipu,” katanya.

Susulan itu, Yusharifuddin berkata, mangsa tampil membuat laporan pada hari sama di Balai Polis Kangar, dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau sekali gus menekankan, tidak ada mana-mana pegawai polis akan meminta mana-mana individu memasukkan wang bagi menyelesaikan sebarang kes membabitkan kesalahan jenayah dan tindakan undang-undang.

“Sebaik-baiknya bertanyalah dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikut apa-apa arahan yang hanya dibuat melalui talian,” katanya.

Loading...
Terkini