comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Kita akan umum tiket penerbangan murah untuk pelajar IPTA’ – Loke

 

SUBANG JAYA: Tawaran harga tiket penerbangan lebih murah kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia membabitkan pelajar IPTA dari semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak atau pelajar dari dua negeri Borneo itu yang belajar di semenanjung.

“Untuk Aidilfitri ini, penjualan tiket dibuka pada 6 April lalu dan dalam dua atau tiga hari sahaja sudah habis.

“Yang ada ketika ini untuk MAS (Malaysia Airlines) balik Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya tinggal kelas perniagaan. Sebab itu kita lihat harganya sekarang tinggi, sebab hanya tinggal tiket kelas perniagaan, kelas ekonomi sudah habis dijual.

“Untuk pelajar, kita tak sempat buat untuk Aidilfitri ini, namun kita sudah ada perancangan untuk tawarkan harga lebih baik kepada pelajar IPTA dengan subsidi kerajaan, untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belajar di semenanjung dan pelajar dari semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak. Kita akan umumkan tak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Rapid Rail, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Kompleks Penyelenggaraan Laluan Kelana Jaya untuk melihat sendiri kerja penyelenggaraan tren dan bersama dengan kakitangan teknikal Rapid Rail.

Loading...
Terkini