comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta api rempuh lembu, 336 penumpang dan 5 kru terselamat

Foto hiasan

KUANTAN: Seramai 336 penumpang dan lima kru kereta api Ekspres Rakyat Timuran (ERT) terselamat selepas tren yang mereka naiki merempuh 14 ekor lembu di kilometer (KM) 84.50 – KM84.75 antara Stesen Bahau dan Stesen Triang, Bera, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilapor membabitkan penumpang dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu.

Beliau berkata, perlanggaran itu bagaimanapun menyebabkan kesemua lembu terbabit mati, selain berlaku beberapa kerosakan pada kereta api lapan gerabak itu, termasuk di bahagian enjin.

“Perjalanan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan, ke Tumpat, Kelantan itu kemudian diteruskan selepas pemeriksaan kerosakan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.

Zulkiflee memaklumkan, insiden berkenaan bukan yang pertama dilaporkan di lokasi terbabit berikutan pernah berlaku kejadian sama pada 31 Oktober lalu yang mana kereta api membawa seramai 400 penumpang telah melanggar lima ekor lembu.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak berkaitan, termasuk penternak yang perlu lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan ternakan mereka.

“Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkaitan perlu dilakukan bagi mengelak daripada berlaku kejadian lebih buruk pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini