comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Perodua Rusa dirempuh kereta api

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Empat lelaki nyaris maut selepas Perodua Rusa dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta api di Kinarut, Papar, semalam.

Satu rakaman video tular menunjukkan kenderaan mangsa dirempuh kereta api ketika melalui lintasan di laluan Kilometer (KM) 21.5, Jalan Perumahan Kampung Anak Kinarut.

Pemandu Perodua Rusa 42 tahun cedera ringan manakala tiga lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan (DSP) Kamaruddin Ambo Sakka berkata kejadian berlaku kira-kira 6.05 petang ketika kereta api bergerak dari arah Sembulan ke Beaufort.

“Dalam kenderaan Perodua Rusa tersebut terdapat empat orang lelaki dan semua sempat melarikan diri sebelum perlanggaran berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati kedua-dua palang penutup laluan jalan raya bagi kenderaan melintas landasan kereta api terbabit tidak dapat menutup laluan kerana sudah tidak berfungsi sejak tahun 2019.

Jelas Kamaruddin, ketika kejadian pemandu kereta api telah membunyikan hon isyarat semasa menghampiri palang terbabit.

“Pemandu kereta api cuba menekan brek namun gagal berhenti dan seterusnya melanggar kenderaan tersebut.”

“Pemandu kereta api hanya menyedari kehadiran kenderaan Perodua Rusa dalam jarak 20 meter di hadapan menyebabkan perlanggaran tersebut tidak dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, ketika Perodua Rusa lalu di atas landasan kereta api itu, tiba-tiba enjin kenderaan mati, menyebabkan kenderaan tidak dapat bergerak.

Katanya, pemandu Perodua Rusa mengatakan tidak menyedari akan ada kereta api yang lalu di kawasan berkenaan kerana palang landasan tidak turun dan menutup laluan berkenaan.

Kamaruddin berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini