comscore
Tumpuan :
Nasional

Kereta hilang kawalan punca bas terbalik, cederakan 21 mangsa

41 individu yang sedang perjalanan menuju majlis keagamaan berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di KM 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Ipoh pagi tadi. FOTO: Ihsan Bomba Perak

IPOH: Insiden bas persiaran terbalik di Kilometer (KM) 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi tadi dipercayai bermula apabila bas itu dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda Accord yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata berikutan itu kereta berkenaan yang asalnya berada di lorong kanan memasuki laluan bas jenis Hino itu yang berada di lorong kiri jalan.

Ketika kejadian, bas itu membawa 41 penumpang termasuk pemandu bas.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta warga tempatan itu yang memandu dari Kulim, Kedah ketika berada di lorong kanan jalan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bas yang berada di lorong kiri.”

“Keadaan itu menyebabkan kereta berkenaan melanggar bahagian sisi kanan belakang bas, sebelum berpusing 360 darjah dan sekali lagi melanggar bahagian hadapan kanan bas hingga menyebabkan bas itu pula hilang kawalan dan masuk ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurut Abang Zainal Abidin, akibat daripada kemalangan itu, 21 penumpang bas tercedera.

Semua yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan Klinik Kesihatan Greentown untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Abang Zainal Abidin dalam pada itu turut meminta saksi kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pagi tadi, media melaporkan 41 individu yang dalam perjalanan menuju majlis keagamaan berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas dan terbalik di KM 265 PLUS arah selatan, sekitar jam 7.28 pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini