comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kereta meletup dan terbakar, tiga beranak melecur

ALOR SETAR: Sebuah kereta proton wira yang dinaiki tiga beranak meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kejadian menyebabkan ke semua mangsa yang berusia 5 hingga 54 tahun itu melecur.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis proton wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.

Kereta meletup dan terbakar, tiga beranak melecur. -FOTO: NSTP

“PGO kemudian mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar keluar ke lokasi kejadian dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran itu membabitkan sebuah kereta terbakar pada bahagian dalam yang membabitkan tiga mangsa.

“Difahamkan, pemandu kereta itu melecur 80 peratus dan isterinya melecur 30 peratus manakala anak mereka melecur hampir 95 peratus.

“Tindakan pihak bomba adalah memastikan api dipadamkan sepenuhnya dan hasil maklumat yang diperolehi, kebakaran dipadamkan oleh orang awam serta pemilik kedai menggunakan alat pemadam api,” katanya.

Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini penilaian peratusan kebakaran itu masih dalam siasatan.

“Peratusan kebakaran kereta proton wira terbabit dianggarkan 60 peratus. Operasi tamat pada 1.35 petang dan punca kebakaran itu berlaku dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini