comscore
Tumpuan :
Nasional

Kertas siasatan dibuka kes pegawai kanan polis tolak kekasih jatuh laut

BUTTERWORTH: Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawai kanannya yang disiasat berhubung kes tolak teman wanitanya hingga jatuh ke laut di Jambatan Pulau Pinang, dekat sini bulan lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata ketika ini, siasatan lanjut berhubung kertas siasatan tatatertib terhadap inspektor berusia 37 tahun itu, disedang dijalankan.

“Kertas siasatannya telah siap semuanya, serta kita telah rujuk ke Bukit Aman dan ia akan diputuskan kemudian, sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak. Tetapi kami juga membuka kertas siasatan terhadap lelaki tersebut untuk tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Op Selamat 21/2024 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang yang bermula 8 hingga 13 Februari, di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.49 malam 15 Jan lepas, sepasang kekasih terselamat selepas kedua-dua mereka terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, selepas dipercayai bertengkar.

Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, selepas mangsa wanita berusia 40 tahun itu, mendakwa dia ditolak kekasihnya.

Sementara itu, Khaw berkata pihaknya tetap meneruskan siasatan terhadap pasangan suami isteri yang menaiki motosikal berbahaya dan menganggu penunggang motosikal lain di Jambatan Pulau Pinang, dekat sini, meskipun seorang daripadanya dikatakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata ia memandangkan perbuatan mereka tetap menjadi kesalahan dan pihaknya akan merujuk kedua-duanya ke hospital bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan mental.

“Berdasarkan semakan, suspek lelaki dan wanita ini ada tiga rekod jenayah lampau, dan sama ada suspek wanita ada masalah mental, kita akan semak termasuk juga status (pemegang kad OKU) yang hal ini kita sedang siasat,” katanya.

Khaw berkata kedua-duanya direman selama empat hari dan polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ditanya status sebenar hubungan kedua-dua suspek itu, beliau berkata, mereka mengaku sebagai pasangan suami isteri, namun maklumat terbaru lelaki lelaki ini sudah memeluk agama Islam manakala wanita berbangsa Cina itu, beragama lain.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini