comscore
Tumpuan :
Nasional

Kertas siasatan hina anggota TLDM maut nahas helikopter dihantar ke Peguam Negara

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun X yang membuat komen jelik berhubung insiden kemalangan membabitkan dua buah helikopter yang terhempas di Lumut, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya merampas sebuah telefon bimbit milik pemilik akaun iaitu Saifuddin Shafik untuk siasatan lanjut.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kertas siasatan katanya telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

PDRM menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Loading...
Terkini