comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buang beras, 5 individu diambil keterangan 

KUANTAN: Seramai lima individu diambil keterangan termasuklah seorang bekas Ahli Parlimen bagi membantu siasatan kes pembuangan beras, sardin dan tepung di Jalan Pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau di Temerloh pada 18 April lalu.

Menurut Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, kertas siasatan akan dirujuk kepada bahagian perundangan SWCorp untuk semakan dan sebarang arahan lanjut.

“Kami telah merekodkan kenyataan antara empat dan lima saksi termasuk seorang bekas Ahli Parlimen untuk membantu menyelesaikan siasatan.

“Bahagian perundangan SWCorp akan meneliti kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

“Semua saksi telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharudin berkata, dalam kes terbabit, pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 kerana melonggokkan sisa pepejal terkawal di kawasan yang tidak dibenarkan.

Pada 18 April lalu, tular di media sosial gambar puluhan kampit, beras tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.

Difahamkan, gambar itu mula tular selepas dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial Facebook dan Tik Tok yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Ia menyebabkan netizen memberi komen negatif dan membuat pelbagai andaian mengenai kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini