comscore
Tumpuan :
Nasional

Lupus ratusan kampit beras di tapak pembuangan sampah, kes siasatan dibuka – KPB

Puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum dekat sini. FOTO: Ihsan Pembaca

KUALA LUMPUR: Kawalselia Padi dan Beras (KPB) membuka kertas siasatan terhadap kes pelupusan beratus-ratus kampit beras berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur – Kampung Gunung Senyum, Pahang, yang membabitkan bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Ketua Pengarah KPB, Datuk Azman Mahmood berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana pelupusan beras tanpa prosedur ditetapkan.

Katanya, jika didapati bersalah, pihak berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita sudah membuka kertas siasatan dan dalam proses untuk mengambil tindakan, namun semuanya terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa.

“KPB memandang serius perkara ini dan ia juga kali pertama berlaku di Malaysia. Kita tidak mahu perkara sama berulang dan diharapkan dengan adanya pendakwaan seperti ini ia akan memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk individu, peruncit serta pemborong,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, tular di media sosial gambar puluhan kampit beras, tin sardin dan tepung dibuang di kawasan pembuangan sampah di situ.

Ismail dalam kenyataan kemudian mengaku bertanggungjawab tetapi mendakwa barang makanan itu sudah luput tarikh dan rosak dan meminta maaf.

Ismail berkata, beras dan barangan dapur berkenaan adalah stok yang disediakan untuk orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Barangan dapur berkenaan disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2022 dan dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan menyebabkan barang itu terperap di stor.

Isu itu mula tular beberapa hari lalu di media sosial yang menimbulkan kemarahan pengguna internet.

Dalam pada itu, Azman berkata sepatutnya untuk melupuskan stok beras itu ia perlu melalui prosedur tertentu dan tidak sepatutnya dibuang di tempat pelupusan sampah seperti yang dilakukan oleh Ismail.

“Untuk nak lupuskan beras kena dapatkan prosedur tertentu, tidak boleh melalui kaedah itu (buang di kawasan pelupusan sampah), kalau beras berkenaan kita dapati tidak boleh digunakan, selalunya kita nasihatkan salah satu caranya untuk dijadikan makanan haiwan ternakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini