comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes keracunan makanan: Kertas siasatan dirujuk TPR dalam tempoh sebulan

Foto hiasan

GOMBAK: Polis akan merujuk kertas siasatan lengkap berhubung kes keracunan makanan yang menyebabkan dua kematian pada 10 Jun lalu, kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, tindakan itu akan diambil selepas laporan bedah siasat diperoleh dalam tempoh sebulan.

“Terbaharu tujuh orang lagi yang terdiri daripada mangsa termasuk pengetua dan guru sekolah diambil keterangan.

“Ini menjadikan keseluruhan setakat ini, seramai 22 individu sudah dirakam keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.

Dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 19 bulan dan remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini