comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes penyalahgunaan dadah: Kerajaan setuju ‘alih’ hukuman penjara kepada program rawatan, pemulihan

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk ‘mengalihkan’ hukuman pesalah penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara kepada program rawatan dan pemulihan bagi memastikan perundangan negara ini terus kekal relevan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bercadang untuk meminda akta berkaitan dengan penyalahgunaan dadah pada sesi sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Kalau mengikut laluan biasa polis tangkap, buka kertas siasatan, ada bukti bawa ke mahkamah, hakim jatuh hukuman (dan) masuk penjara.

“(Tetapi) kalau pindaan ini mendapat sokongan Yang Berhormat dalam sidang kali ini, insya-Allah kita pinda bagi membolehkan pesalah jenis ini setelah disahkan oleh pegawai perubatan, kita akan terus bawa mereka ke pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai isu reformasi penjara dan pusat tahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga sedang meneliti secara serius terhadap pelaksanaan tahanan rumah dan penangguhan hukuman dengan intervensi.

Beliau turut memberi contoh mengapa pelaksanaan tahanan rumah itu penting untuk dilaksanakan.

“Bayangkan satu senario atau satu keadaan. Seorang wanita ketika ditangkap atau dia dijatuhi hukuman atas apapun kesalahan adalah merupakan seorang wanita yang sedang hamil.

“Kerana hukumannya itu, dia mesti ditempatkan di penjara. Kalau kita boleh adakan tahanan rumah, fizikal ibu hamil ini patut berada di luar, menjaga kandungannya. Tetapi kita pakaikan EMD (peranti pemantauan elektronik).

“Pilihan lain kalau kita tidak teroka inisiatif tahanan rumah, ibu hamil itu akan menjadi penghuni Sungai Buloh, Kajang, Seremban atau Pulau Pinang dan sebagainya,” katanya.

Loading...
Terkini