comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes Safiq Rahim tiada kaitan dengan serangan ke atas pemain lain – Polis

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Serangan ke atas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim malam tadi tiada kaitan dengan kes serangan membabitkan pemain lain.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar hasil siasatan yang dijalankan.

Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi hingga boleh mencetuskan suasana tidak selesa dikalangan rakyat.

“Biar polis buat siasatan dan siasatan yang dilakukan setakat ini menunjukkan kes Safiq Rahim tiada kaitan dengan serangan yang berlaku ke atas Faisal Halim mahupun Akhyar Rashid” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor di sini, hari ini.

M.Kumar berkata, begitupun polis tidak boleh mengambil ringan perbuatan jenayah terbabit.

Tegasnya, siasatan menyeluruh sedang giat dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada saksi serta kamera litar tertutup C-C-T-V di lokasi kejadian serta kawasan sekitarnya.

Polis Johor juga tambah beliau akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pemain dan penonton pada pertandingan Piala Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

“Kita akan menambah jumlah pegawai dan anggota kepada 1,500 orang bagi memastikan keselamatan pemain dan penonton yang hadir menyaksikan pertandingan itu kelak,” ujarnya lagi.

Jelasnya, menjadi prosedur PDRM menyediakan pegawai dan anggota pengiring kepada pasukan yang bertanding demi memastikan keselamatan mereka terjamin setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Johor.

Dalam kejadian malam tadi, bekas kapten pasukan kebangsaan itu diserang dua lelaki menggunakan tukul besi yang menaiki sebuah motosikal ketika berada di Jalan Sri Gelam menuju Pantai Lido sebaik selesai mengambil barang peribadinya di pusat latihan JDT.

Safiq mendakwa salah seorang daripada penyerang mengeluarkan tukul besi dan mengetuk cermin belakang keretanya.

Beliau kemudian menghentikan keretanya dan dua lelaki terbabit kemudian berhenti di depannya sambil menunjukkan tukul besi berkenaan kepadanya.

Serangan itu menyebabkan cermin belakang keretanya pecah.

Safiq kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Larkin jam 11.06 minit malam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Kesiksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini