comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes usahawan bankrap menurun

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Kes kebankrapan yang direkodkan pada tahun lepas menurun kepada 5,695 berbanding 6,554 kes pada 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata ia susulan pindaan peruntukan perenggan 5(1)(a) Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 (Akta A1624) yang menaikkan nilai had minimum keberhutangan kepada RM100,000.

“Sebagai usaha membantu mengurangkan kadar kebankrapan dalam kalangan usahawan, kerajaan telah memperkenalkan Perkiraan Sukarela (Voluntary Arrangement) dalam Akta 360 yang mula berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

“Penghutang boleh memohon perintah interim daripada mahkamah untuk penggantungan prosiding kebankrapan sementara rundingan diadakan antara penghutang dengan pemiutang berhubung pelan cadangan bayaran balik hutang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim Ahli Parlimen Pendang mengenai langkah jangka panjang bagi mengurangkan kadar kebankrap dalam kalangan usahawan Bumiputera serta meningkatkan kemampanan golongan terbabit.

Tambahnya pada masa sama, Jabatan Insolvensi (MdI) melaksanakan program seperti MdL Prihatin dan penyebaran maklumat di media sosial untuk mewujudkan kesedaran masyarakat berhubung isu muflis.

Bermula 1 Mac lepas, beliau berkata kerajaan melaksanakan inisiatif untuk melepaskan individu yang bankrap bagi kategori hutang berskala kecil iaitu jumlah tuntutan hutang yang diperakukan dengan jumlah RM500,000 dan ke bawah dengan bersyarat.

Loading...
Terkini