comscore
Tumpuan :
Nasional

Keselamatan awam Sabah terus diperkasa – Hajiji

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Aspek keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Keamanan yang kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan sebaiknya”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan negeri ini di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa bakti dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan Sabah.

Katanya, tugas serta tanggungjawab mereka dalam bidang pekerjaan masing-masing sangat mencabar dan pengorbanan anggota keselamatan dan petugas kesihatan tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga keselamatan, akan sentiasa diingati.

Beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1 April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.

“Justeru, saya berharap kita semua sentiasa berhati-hati dan perlu jaga diri demi keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing”, tegasnya.

Beliau berharap penganjuran majlis itu akan meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan bakti anggota keselamatan dan petugas kesihatan kepada bangsa dan negara.

Hajiji berkata, tahun ini sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih-muih untuk diagihkan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan menjelang Aidilfitri.

Beliau berharap lebih banyak lagi agensi kerajaan termasuklah GLC dan NGO tampil untuk menghulurkan sumbangan pada masa akan datang.

Loading...
Terkini